Menghampiri musim dingin, daun-daun pokok beransur gugur. Tak kurang juga pepohon yang sudah botak sepenuhnya. Bangunan tersergam di sebalik tembok ialah blok kejuruteraan University of Leeds. Baru-baru ini saya cuba skodeng lokasi guna Google Satellite. Aneh sekali, bangku ikonik ini tidak lagi kelihatan. Barangkali sudah dialih buang.
Sejurus kamar peperiksaan ditinggalkan, langkah laju dipasang tanpa henti menuju St. George’s Field. Lokasi sunyi terdekat dengan fakulti elektronik. Di bangku tersorok inilah saya menghidupkan semula Nokia 3310 untuk mengisytihar khabar gembira buat keluarga. Mak. Ayah. Adik-adik. Kolektif insan tersayang di Malaysia yang pasti sedang resah ternanti-nanti keputusan. Bagi seorang anak bujang tanpa makwe, dengan siapa lagi mahu dikongsi detik-detik sebegini?
Ya Tuhan, seluruh tubuh serta-merta terasa ringan. Umpama belon terputus tali yang terawang-awang di udara. Pendek kata, lega selega leganya. Saya yakin variasi kepuasan yang sama turut dirasai oleh semua calon PhD sejurus lulus viva akhir. Tanpa mengira generasi. Tanpa mengira bidang. Tanpa mengira jantina. Meskipun berbaki minor corrections yang perlu dibereskan, aspek remeh ini serupa macam tak wujud. Begitulah perasaan saya pada petang Rabu, 19 Oktober 2011.
Terkenang kembali, alangkah seronok jikalau himpunan perasaan melangit saat itu bisa diabadikan dalam balang kaca berkapasiti infiniti. Setiap kali jiwa tertekan, boleh juga hirup sedikit demi sedikit guna straw. Setelah bertahun-tahun masa berlalu, saya masih merindui detik spesifik bersama bangku yang dimaksudkan. Cuma tidaklah sampai tahap sanggup mengulangi seksa PhD. No way! Cukuplah sekali.
Apa yang kita peroleh setelah menggenggam sijil PhD, orang boleh nampak.
Namun, apa yang kita hilang gara-gara perjalanan tersebut tiada sesiapa yang tahu.