Backstreet Boys

Sewaktu mengemas stor rumah parents kami, adik bongsu saya terjumpa lakaran pensel ini. Hasil kerja separuh jalan selalunya saya tak sign. Oleh itu, sukar hendak dipastikan tarikh sebenar lukisan dalam foto.

Berdasarkan memori, besar kemungkinan circa 1995-96. Pastinya sebelum saya masuk MRSM. Sebab sejurus mendaftar diri di asrama penuh, peluang melukis serta-merta tertutup. Maklum saja, asyik terkejar ke sana-sini. Tugasan sekolah lah. Kokurikulum lah. Lights off pukul 11 lah. Tak kurang juga aktiviti-aktiviti pelik lain yang senior kerah suruh buat.

Kesan banyak padam itu sebenarnya cubaan melukis Nick Carter. Sampai ke sudah tak jadi, akhirnya saya mengalah. Entah apa penjelasan saintifiknya, setiap kali cuba lukis, hasilnya lebih mirip wajah penyanyi utama kumpulan Nico.

Di persimpangan cerita, melukis potret boyband ternyata platform mudah buat duit andai kata skill melukis saya sudah mantap. Pada zaman kegemilangan BSB, permintaan melukis datang tak putus-putus daripada teman-teman. Anehnya, saya bersekolah di English College, JB. All-boys school. Jikalau sekolah jantina bercampur, bakat melukis boleh juga dibuat modal mengurat.

Berbalik kepada lukisan dalam foto, tidak berbaloi rasanya disambung memandangkan kertas pun di ambang reput. Fasa budak-budak dahulu, saya belum pandai hargai hasil kerja seni sendiri. Entah mana-mana saja saya selit. Dalam almari baju. Bawah katil. Tak kurang juga yang berlipat empat dalam celahan buku-buku rambang.

Lagipun, lakaran ini terasa sayang mahu diusik. Biarlah ia menjadi kapsul masa tahap bakat di kala tersebut. Dalam mengorak langkah ke hadapan, sekali-sekala kita perlu juga menoleh ke belakang. Ada masa nanti, saya cuba lukis semula guna kertas segar.

Entri FB 7 Februari 2019.

Sebarang komen/pertanyaan?