Ayat Pertama

‘In a hole in the ground there lived a hobbit.’

Ini ayat pertama daripada Bab 1 maha karya JRR Tolkien (terbitan pertama tahun 1937) yang tentunya tidak asing lagi buat para peminat tegar seperti saya. Cuma dalam versi adaptasi filem, ungkapan ini hanya diselit secara bersahaja sejurus tamat prolog melibatkan serangan naga Smaug ke atas kerajaan Lonely Mountain.

Sungguhpun tampak ringkas sekilas pandang, kekuatan ayat pembuka The Hobbit ini semakin berganda setelah dinilai siri buku secara menyeluruh. Termasuk trilogi buku Lord of The Rings yang menyusul kemudian.

Bagaimana satu makhluk kerdil yang pasif akhirnya membawa impak besar terhadap dunia fiksyen Middle-Earth. Sedangkan, paparan watak-watak sampingan ternyata lebih gah serta memiliki keupayaan jauh lebih menonjol. Lebih penting lagi, kembara epik ini tidak akan wujud sekiranya Bilbo Baggins memilih untuk terus berkurung di dalam lubang bawah tanah. Kekal dalam zon selesa.

Mengenangkan hal ini, pada saya mukadimah The Hobbit ternyata padu. Kalau tak silap, ayat pembuka ini kebetulan juga ayat pertama yang ditulis oleh Tolkien sewaktu mengarang manuskrip. Sengaja saya pilih contoh ini kerana The Hobbit merupakan satu-satunya buku kegemaran saya daripada genre fantasi kanak-kanak. (Siri Harry Potter saya tak minat.)

Namun begitu, ayat pembuka buku tidak semestinya bait-bait kata terawal seseorang penulis. Sama ada dipengaruhi oleh novelis idola masing-masing, Cikgu BM, buku-buku panduan, sifu penulisan atau self-experimentation; setiap penulis pasti ada ritual tersendiri dalam mengarang.

Ada yang bermula dari bab 1. Ada yang bermula dengan ayat penutup gah. Ada yang bermula dengan ayat-ayat rambang. Terpulanglah, ikut keselesaan masing-masing. There is no singular perfect approach. Saya sendiri bermula dengan ayat rambang. Kecenderungan tipikal seorang amatur.

Tanpa menyasar konten spesifik buat projek tertentu, apa jua yang mendatangi fikiran saya catat. Perlahan-lahan, manuskrip berkembang secara berterabur dari situ. Seiring naratif di ambang berkembang, nukilan berkait akan saya agihkan mengikut bab. Bab-bab yang mula terhimpun kemudiannya disusun mengikut kronologi sesuai yang dirasakan efektif.

Terkenang kembali, tabiat ini sebenarnya terbentuk sewaktu saya menulis tesis PhD dahulu.

Lazimnya, calon PhD berpeluang memberi tumpuan penuh terhadap penyiapan tesis sekitar tiga bulan terakhir sebelum tarikh tutup serahan. Tanpa bebanan sebarang kerja penyelidikan. Eksperimen mahupun analisis data.

Memandangkan projek PhD saya sarat masalah, analisis data (serta beberapa eksperimen) terpaksa berlari seiring dengan penulisan tesis sehinggalah ke detik serahan.

Mahu tak mahu, saya tulis sekadar apa yang sempat. Sumbat sana sedikit. Sumbat sini sedikit. Selesai. Fuh, those were the days! Glad that it’s over. Eh, maaf… Terlencong jauh pula (kisah perjalanan PhD saya ada dalam buku KUANTUM. Jemput baca jika berminat).

Menjelang siapnya satu-satu manuskrip buku, apa yang telah ditulis pula tidak semestinya 100% masuk dalam draf akhir. Kadang-kadang editor suruh buang. Kala telahan akhir, kadang-kadang penulis sendiri yang merasakan ada benda kurang sesuai. Dalam pada itu, kebanyakan penulis tentu ingat ayat pertama yang dia tulis. Bagi manuskrip Budak Meja Belakang, ayat yang dimaksudkan itu ialah:

Alang-Alang Mendaki Biarlah Sampai Ke Puncak Budak Meja Belakang

(Ada kisah juga di sebalik kemunculan ungkapan ini. Lain kali saya cerita)

Malah, saya turut berhajat menjadikan ungkapan ini sebagai tagline buku. Makna kata, terpapar jelas bersama judul di kulit hadapan. Anggapan saya, tagline efektif pada kulit hadapan bisa memberi sedikit gambaran terhadap bakal pembeli mengenai isi kandungan sesebuah buku.

Namun, cadangan ini tidak dipersetujui oleh pihak penerbit pada waktu itu. Tetapi, saya tidaklah terasa hati. Mereka lebih arif dalam hal-hal sebegini.

Merenung kembali, tanpa sebarang tagline kulit hadapan tampak lebih kemas. Dan meskipun ini ayat pertama yang ditulis saat mula mengarang manuskrip BMB hampir sedekad lalu, saya pun tak sangka akhirnya masuk perenggan penutup keseluruhan buku.

Lego Budak Meja Belakang Alang-Alang Mendaki Biarlah Sampai Ke Puncak Blog csf 2
Alang-alang mendaki, biarlah sampai ke puncak!

Sebarang komen/pertanyaan?