Asrama Dan Hantu

Asal duduk asrama sahaja, mesti ada hantu. Asal ada hantu sahaja, mesti duduk asrama. Pendek kata, asrama penuh dan hantu cukup sinonim.

Sepanjang alam persekolahan, saya tergaru-garu kepala cuba memikirkan punca. Seriau juga mendengar perkongsian cerita daripada abang-abang dan kakak-kakak sepupu yang jauh lebih berpengalaman. Hantu bertenggek atas lokar lah. Hantu Jepun MCKK lah. Hantu Qiamullail STF pun ada! Dan macam-macam lagi urban legend dekad 80-an. Andai kata ada unsur tokok tambah daripada pihak mereka, kenaifan kanak-kanak dalam diri ini pada waktu itu belum bisa menafsir.

Boleh jadikah sebab asrama sengaja dibina dalam hutan celah hulu banat? Umum bersetuju, ini habitat asal hantu dan jin. Setiba tanah hendak diteroka, tiada sebarang notis suruh pindah pun dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Maka tak sempatlah komuniti makhluk teraniaya ini menganjur demonstrasi bersepanduk secara aman. Tahu-tahu sahaja, jentolak dah ratakan segala-galanya. Bangunan berbatu lantas dinaikkan. Tiba-tiba ada penghuni baru. Pampasan pun tak dapat. Siapa tak angin?

Pilihan yang tinggal ialah menyakat. Revenge is truly sweet.

Kadang-kadang saya terfikir juga. Apa salahnya buat MRSM di belakang Skudai Parade JB atau sebelah The Curve Mutiara Damansara? Hmm, mungkin lebih ramai yang akan ‘fly’ panjat pagar nanti. Termasuk makcik kantin. Baiklah, saya tarik semula usul tadi.

Bukit Larut, lokasi letaknya MRSM Taiping tak kurang ‘keras’ dari segi reputasi. Ada teori mengatakan di sinilah tempat pembuangan segala mak nenek jin dari serata bumi Perak. Saya yakin kawan-kawan segenerasi (mahupun para senior sebelum dan junior kami yang menyusul) rata-rata ada kisah tersendiri.

Antara yang popular saya masih ingat ialah pontianak tangki air, hantu raya di ampaian belakang blok Aminuddin Baki, pocong skema yang gemar melepak di blok akademik usai jam 10 dan tak kurang juga toyol perembat barangan hostel. Ini kisah-kisah buah mulut orang lain.

Pengalaman saya sendiri ada diceritakan dalam buku Budak Meja Belakang. Kewujudan teman-teman sekeliling tatkala kejadian membuatkan diri ini sukar mempertikai apa yang telah berlaku. Entahlah, Tuhan lebih mengetahui.

Tidak menghairankan, hanya bulan Ramadan aura seram lenyap sejenak. Sampai tahap pecah masuk blok akademik jam tiga pagi pun tak terasa apa-apa. Jikalau bulan-bulan biasa, suasana prep malam seawal jam 8 pun dah terasa seram. Mana tidaknya, pandang keluar tingkap terus boleh nampak hutan tebal yang hanya dipisahkan daripada kami oleh pagar berdawai halus. Tak perlu tunggu gajah. Kijang rempuh pun barangkali boleh lepas.

Di kala siang, kelibat Maikel dan kawan-kawan aktif bergayut antara pohon seakan pemandangan biasa. Cuma sebelah malam saya tak berani tengok luar. Takut-takut benda lain pula yang bergayut. Maklum saja, banyak kes histeria berangkai tercetus gara-gara penampakan kelibat lembaga hitam berlari-lari di luar sewaktu prep malam. Orang minyak? Mungkin.

Walaupun gemar melayan filem seram, saya ini kategori insan lemah semangat juga bila masuk bab-bab mistik. Hatta melayan X-Files. Tatkala menonton filem di rumah, sekurang-kurangnya boleh capai bantal buat menutup muka. Di asrama, kenalah kontrol macho di hadapan rakan-rakan setingkatan yang perempuan.

Foto ini dirakam semasa prep malam. Ketara jelas tingkatan empat sebab masing-masing terpaksa pakai kemas. Malah, Muin dan Ebnu siap bertali leher. Senior pun tak suruh.

Mujur tiada apa-apa yang datang menempel saat foto dirakam sebab di luar tingkap itulah hutan belantara yang saya maksudkan. Oh, lembaga bengis hanya berkepala yang terjenguk-jenguk dari sebalik langsir itu bukan momok. Itu tuan penulis.

Sebarang komen/pertanyaan?