Aktiviti Hujung Minggu

Budak Meja Belakang: Pax Americana (Deleted Chapter 5)

Elaun bulanan yang kami terima pada awal millenium sebenarnya lebih daripada mencukupi, andai berdikit. Ini pendapat peribadi saya selaku anak MARA, penerima kadar elaun terendah.

Dengan kata lain, tiada langsung keperluan mencari kerja. Dalam pada itu, ada sahaja kawan-kawan yang bekerja sambilan. Selagi pelajaran tidak terabai, tak salah pun cari duit. Di samping menimba pengalaman berharga di tanah orang.

Antara kerjaya sambilan popular dalam kalangan pelajar Malaysia di US sezaman saya ialah pelayan restoran, penjaga makmal komputer serta journal hunting (ambil upah jejak maklumat). Ada juga yang bekerja dengan tadika. Berbanding pengalaman saya di UK kemudian, peluang kerja sebagai tukang cuci sambilan di US agak terbatas. Boleh jadi geng mexico dah bolot kesemua syif.

Itu sedikit sebanyak perihal kelompok cari makan. Sementara yang lain menghabiskan hujung minggu lepak bersantai.

Kaki filem akan menyewa pita video dari jaringan kedai Blockbuster serata West Lafayette. USD4.99 untuk sewa tiga hari. Sekali-sekala timbul promosi tak masuk akal seperti sepuluh pita VHS pada kadar sewa yang sama. Masing-masing pakat maraton sampai termuntah. Lethal Weapon 1 sampai 4. Die Hard 1 sampai 3. Aliens 1 sampai 4. Rambo 1 sampai 3.

Tidak mustahil keagresifan promosi ini mengenangkan betapa budaya menonton video semakin terancam seiring kemunculan teknologi baharu, DVD. Maklum saja, Wal-Mart pun menjual cakera DVD asli filem-filem klasik (yang saya senaraikan di atas) pada harga kurang daripada sedolar. Buat apa sewa pita video?

Cuma ini senario dua dekad lepas. Dengan kemunculan servis seperti Netflix dan sebagainya kini, DVD pun dah tak laku (termasuk versi cetak rompak). Apatah lagi VHS yang kuno. Rentetan penyebab Blockbuster Videos yang gah akhirnya tutup kedai pada tahun 2011. Sekaligus menyukarkan usaha-usaha menyebar sumpahan hantu Sadako.

Kelompok berpasangan beruntung kerana tidak perlu berkurung dalam rumah menghadap TV.

Kala hujung minggu, merpati sejoli lazimnya mengambil peluang bersua muka. Sekadar dating di McD sudah cukup buat melepas rindu. Dua penyedut minuman tercucuk dalam satu cawan plastik. Usai makan, masing-masing akan ke Purdue Memorial Union untuk bermain bowling. Atau merayau-rayau keliling taman bunga kampus sebagaimana Lokman dan Nora berjumpa di Taman Firdausi.

Perihal kelompok bercinta semua ini saya sedia maklum sebab pernah menjadi roda ketiga. Selaku insan kesepian, apa jua pelawaan keluar tentu sekali saya sambut. “Shah, join kitorang main bowling jom!” Tak sangka, ada juga pasangan yang prihatin.

Setelah menyedari nilai diri ini sekadar tripod kamera percuma, saya dah serik! Apa pun jua, ini catatan pengalaman sebelum saya menemui geng yang serasi untuk berjamming. Sejurus terjebak dengan dunia heavy metal, makwe-makwe dah tak penting.

Sekiranya ada perlawanan dijadualkan berlangsung, geng lelaki akan berhimpun di blok Brownstone 101 untuk menonton American football. Pa, Fai dan Fendi selaku tuan rumah tetap.

American football ini saya perasan sekilas pandang macam ragbi. Bola jarang ditendang dan semakin pelik bila mana para pemain masing-masing memakai helmet. Bukannya perlu naik motosikal pun. Semangat menonton warga kampus semakin berkobar-kobar semenjak Drew Brees (pemain Purdue peringkat kolej sezaman kami) disambar masuk liga NFL.

Tak dinafi, keseronokan menonton sukan pasti tidak setanding bermain sendiri. Oleh itu, rakan-rakan yang tiba-tiba teruja akan turun ke padang untuk bermain American football. Alternatifnya ialah bola keranjang di COREC (pusat sukan). Selain faktor tradisi, siri anime Slam Dunk juga antara penyumbang kepada populariti bola keranjang di US pada zaman itu.

Bola sepak yang dikenali sebagai soccer pula tidak popular di bumi Uncle Sam. Fakta ini tidak menghairankan langsung. Malah sewaktu hari pertama Piala Dunia 1994, rata-rata pihak media serta rakyat Amerika lebih memberi tumpuan kepada adegan O.J. Simpson dikejar polis. Sedangkan USA sendiri sedang menjadi tuan rumah perlawanan FIFA pada tahun tersebut. Hendak dijadikan cerita, si O.J. kebetulan pula seorang pemain NFL. See?

Pendek kata, bola sepak memang tak laku. Ironinya, futsal ramai pula yang layan. Kaum wanita turut sama berminat. Termasuk teman-teman Melayu dari kelompok hawa. Perlu diingatkan, ini jauh sebelum Bernard Chauly membikin filem Gol & Gincu. Maka, pengaruh filem tersebut tidak wajar dikaitkan.

Bermain mahupun menonton American football, bola keranjang atau futsal; apa jua aktiviti sukan saya memang tak suka. Jadi, jangan haraplah hendak nampak kelibat diri ini di padang mahupun gelanggang. Tetapi kalau Fazura atau Sazzy ada pada zaman itu, mungkin saya datang tolong kutip bola.

2 Replies to “Aktiviti Hujung Minggu”

Sebarang komen/pertanyaan?