Ada Apa Dengan Spidey?

Hasil kerja tahun 1996. Dalam tak sedar, tanda tangan saya telah banyak berubah. Dari segi lekuk-lekuknya kini, bolehlah dikatakan semakin berseni. Namun dari segi nilai tanda tangan tersebut, masih jauh ketinggalan.

Tergelak besar saya kala terjumpa semula lukisan ini. Entah apa-apa saya lukis. Garis-garis putih di belakang Spider-man itu kononnya sabung kilat.

Secara keseluruhan, nampak sangat kerja tak habis. Seksyen penjuru kanan bawah seakan terabai. Terkenang kembali, saya memang cenderung buat kerja separuh jalan sewaktu zaman sekolah dahulu. Bercinta pun tak habis.

Apa pun jua, ini sebenarnya cubaan pertama saya memakai Buncho Poster Colour untuk melukis watak komik. Pada kebiasaannya saya gemar menggunakan marker pen berserta magic ink. Selaku cabaran tambahan, saya turut memaksa diri siapkan satu lukisan tanpa rujukan. Makna kata, guna daya imaginasi semata-mata.

Tanpa sebarang latihan formal, manalah saya tahu selok-belok anatomi otot manusia segala bagai. Otot pada badan sendiri pun tak pernah kelihatan sejak lahir gara-gara terselindung sentiasa di sebalik lemak. Timbunan lemak yang jikalau berjaya diekstrak, bisa digumpal membentuk seekor toyol European size.

Di persimpangan cerita juga, talian internet di rumah mak ayah belum ada buat saya menjejak laman rujukan. Hendak merujuk buku-buku panduan anatomi tubuh manusia terbitan Barat pula, harganya bukan murah. Dan faham-faham sajalah gambar jenis apa yang lazim disaji. Kalau mak saya terjumpa, memang sah kena balun.

Maka, anggaplah saja si Spidey bengkak-bengkak badan angkara baru disengat tebuan. Yup, that’s it. Lets go with that story.

Sebarang komen/pertanyaan?