Ada Apa Dengan Nyanyian

Sungguhpun segan hendak mengaku, saya insan yang tidak dikurnia keupayaan menyanyi secara semulajadi. Tak mahir kawal lenggok suara. Mengaji pun mendatar. Alunan syair mendayu-dayu apatah lagi.

Kata orang, suara sedap itu aset berharga buat lelaki. Terutama sekali dalam hal memikat gadis. Umpan alternatif andai kata wajah sang kumbang kurang memberangsangkan.

Terkenang kembali, sewaktu ujian menyanyi Tahap 1 persekolahan rendah dahulu pun saya sering peroleh markah teruk. Mujurlah aktiviti jahanam tersebut tidak wujud dalam sukatan matapelajaran Tahap 2, ekoran masing-masing telah beralih kepada peniupan rekoder.

Hendak dijadikan cerita, itu pun saya terkial-kial. Maka jadilah saya watak pokok penyeri pentas. Tak payah buka mulut. Hanya perlu berdiri dan goyangkan badan sekali-sekala. Nasib baik comel.

Berbicara soal menyanyi, hafalan lirik tak pernah jadi isu sebab daya ingatan saya kuat. Aspek kawalan pernafasan serta alunan suara yang lekas mengundang panik. Apakan daya, era 80-an dahulu belum wujud Youtube channel sebagai rujukan saya berlatih sendiri di rumah. Tak macam budak-budak generasi sekarang. Seawal usia dua tahun sudah lancar menyanyi Baby Shark Doo-Doo Doo-Doo Doo-Doo.

Pada suatu hari yang malang menjelang hujung tahun persekolahan darjah 2, setiap murid dikerah ke hadapan kelas secara bergilir untuk menyanyi. Ujian penilaian subjek muzik. Ada markah. Setiba giliran saya, cikgu beri pilihan antara tiga buah lagu. Lagu Anak Itik Tok Wi. Lagu Ais kacang. Lagu Aku Burung Tiung.

Lagu Aku Burung Tiung judul pertama sekali saya pangkah. Lagu penuh depresi. (Ugh!)

Lagu Ais Kacang terlampau ceria pula. Sangat tak padan dengan personaliti diri yang pendiam lagi serius. (Giteww!)

Ketiadaan pilihan, lagu Anak Itik Tok Wi sahaja yang tinggal.

Lirik saya hafal. Sungguhpun trek iringan minus one tidak disediakan, alunan irama saya ingat lebih kurang. Namun, peti suara enggan beri kerjasama. How do I begin, then?! Cikgu pula sudah beri isyarat mula. Suasana bilik darjah bertukar hening serta-merta. Kesemua mata bertumpu ke arah saya yang sedang berpeluh debar.

Akhirnya, saya redah ikut pesanan Pendekar Mustar, “Hentam sajalah.” Tanpa bukti rakaman audio, sukar juga buat saya mendemonstrasikan betapa hampehnya kualiti persembahan tersebut kepada kalian. You simply have to take my word for it. Memang sumbang. Sumbang sesumbang sumbangnya.

Anak itik Tok Wi… Mandi dalam kolam. Sakit apa Tok Wi… Sakit Sendi Tulang. Ya, lagu mudah. ITU pun tak boleh buat? What can I say? Memang tak mampu. Teruklah juga saya diketawakan oleh rakan-rakan sekelas. Ibarat luka pedih yang kemudian ditabur garam, cikgu pun bantai gelak sekali.

Jelas tersemat di lubuk memori, insiden ini berlaku sejurus sebelum waktu rehat. Sebab saya ingat: Kala loceng rehat berdering, saya terus berlari ke tandas untuk menangis seorang diri. Dalam masa yang sama, saya memasang azam. Saya tak pernah kenal siapa itu Tok Wi yang menderita sakit sendi tulang. Tapi kalau terjumpa dia suatu hari kelak, memang akan saya balun dengan selipar.

Kejadian mengaibkan tadi berserta himpunan insiden susulan yang lain, secara langsung membawa kepada performance anxiety sepanjang fasa bersekolah. Lantas meleret sehingga ke era menengah serta pra-U.

Saya malu ke hadapan. Takut digelakkan. Fobia terhadap apa jua aktiviti persembahan berirama. Sajak. Pantun. Syair. Menyanyi. Hatta azan. Untuk maju ke hadapan dalam hidup, kelemahan sebegini sememangnya mengekang.

Namun, ceritanya tidak habis di situ.

Dalam tak sedar, masalah ini terawat sendiri. Tanpa perlu cari pakar psikologi. Tak perlu menghadap dukun jauh di dalam hutan. Saya tak buang duit pergi seminar sifu mengarut. Saya tak baca buku self-help.

Ironically, the cure was music itself. Aneh, bukan?

Saya terjebak dengan muzik berat sewaktu kolej. Mula meminati grunge dan heavy metal. Perlahan-lahan mendekati gitar. Dari situ, berjinak-jinak pula dengan aktiviti jamming. Umum tahu, aliran grunge dan heavy metal cukup sinonim dengan sikap ‘pedulikan apa orang nak kata.’ Cara berpakaian. Cara bawa diri. Genre ini magnet ulung buat kelompok tersisih.

Call of Cthulu Metallica Budak Meja Belakang Pax Americana Shah Ibrahim
Butterlica (Indiana, 2003)

While you’re rocking out with friends, somebody has to sing. Bab ini tiada paksaan. Kalau kawan-kawan lain penat atau malas, saya selamba ambil alih. Nyanyian muzik berat tak perlu merdu macam Justin Bieber. Cukup sekadar menjerit. Sambil itu, lepaskan segala yang terbuku dalam jiwa. Kemarahan. Kekecewaan. Ketakutan. Euphoria to the max.

Parpu Band Final Jam Session 2005 Blog Coretan Sang Flowerman
Parpu Band (Leeds, 2005)

Tak dapat dinafi, ritual ini perlahan-lahan mengangkat keyakinan diri. Hakis malu. Buang segan. Aspek paling penting, band mates takkan sesekali gelakkan kita. Band mates ibarat sebuah brotherhood. Saling menyokong. Dari studio tertutup, beralih pula ke pentas-pentas gig. Menyanyi di hadapan khalayak ramai. And the rest is history.

Bantal Kekabu Sheffield Gig 2009 Blog Coretan Sang Flowerman
Bantal Kekabu (Sheffield, 2009)

Adakah suara nyanyian saya kini boleh dikategorikan sebagai ‘sedap’? Saya tak tahu. Dan sejujurnya, saya dah tak peduli. A golden voice was never the object of desire in this tale. Sebaliknya, kutipan-kutipan lain sepanjang perjalanan. Buat diri secara peribadi, perjalanan ini suatu proses penyembuhan. Ke arah menjadi lelaki lebih berkualiti. Teringat saya pada kata-kata Rumi,

“I want to sing like the birds sing, not worrying about who hears or what they think…”

Perasaan ini sungguh mendamaikan.

Sebarang komen/pertanyaan?