Tahukah anda, ada orang yang mengumpul barangan berautograf untuk diniagakan semula selaku mata pencarian? Tanda tangan pelukis komik pun sama. Mungkin dari sini segelintir pengkarya di Barat mula terpanggil untuk mengenakan caj. Ketara jelas dia tidak akan memperoleh hatta sekelumit komisen daripada segala aktiviti bidaan belakang tabir.
Boleh jadi juga ini sebabnya kebanyakan penganjur book-signing di sebelah Barat mula meletak had kepada para pengunjung yang berpusu-pusu mendapatkan autograf daripada pengkarya ternama. “Please, 2 books per person only!” Jikalau tiada had, silap-silap Pampers anak turut dihulur untuk diautograf.
Walau bagaimanapun, rasa-rasa saya dunia pencinta buku di Malaysia belum lagi mencapai tahap ini. Ada kelompok pembaca yang langsung tak hairan. Sungguhpun minat terhadap satu-satu penulis, autograf itu hal remeh. Mereka beli buku. Mereka baca buku. Kemudian tunggu karya susulan.
Sedangkan di hujung spektrum yang lain pula, wujud kelompok pembaca yang tak senang duduk selagi belum dapat tanda tangan penulis yang digemari. Mereka memandang keintiman di sebalik coretan ringkas sumbangan pengkarya kesayangan.
Dalam pada itu, ramai sahaja yang tidak keberatan melepaskan koleksi buku-buku berautograf mereka. Realiti yang saya mula perasan setelah beberapa kali terjumpa buku-buku sebegini di rak perpustakaan awam. Sesetengahnya malah ada ucapan dedikasi. Sebagaimana saya katakan tadi, nilai autograf tidak sama pada semua orang.
Selaku bibliofil, saya sendiri berada di tengah-tengah. Kalau boleh, setiap satu buku yang saya berhajat simpan, teringin sekali saya mendapatkan autograf penulis asalnya. Setimbul peluang, pasti akan saya rebut. Namun, tidaklah sampai sanggup beratur panjang macam orang berlumba-lumba membeli Iphone model terbaharu.
Apakah kriteria barisan panjang pada pandangan saya, anda bertanya? Any line more than 10 people. Ya, tahap kesabaran beratur saya begitu rendah.
Secara tak langsung, inilah sebab mengapa saya gemar membeli buku secara terus daripada tuan/puan penulis (kiriman pos). Tak perlu bersesak-sesak beratur menunggu dalam barisan di pesta buku. Sebagai bonus, autograf yang diperolehi juga lazimnya lebih kemas.
Ada orang berkira soal kos pos. Ada orang berkira soal masa. Hak masing-masing untuk memilih. Terpulang.







Foto-foto ini perkongsian sebahagian kecil daripada koleksi buku berautograf milik saya yang sempat dirakam beberapa bulan lepas. Sebenarnya ada banyak lagi. Cuma yang lain sudah berbungkus plastik dan bersemadi dalam kotak. Maklumlah, nomad. Belum ada teratak sendiri.
Oh ya, autograf tidak semestinya datang daripada penulis buku itu sendiri. Sesiapa pun boleh turunkan tanda tangan. Tiada undang-undang melarang.
Ramai sahaja yang turunkan tanda tangan sendiri pada sesebuah buku sebelum dihadiahkan kepada orang lain. Misalnya, seorang ayah kepada seorang anak sewaktu hari jadi. Atau pemberian seorang ibu kepada anak daranya yang bakal naik pelamin. Atau sumbangan sekumpulan guru dalam meraikan persaraan Guru Besar mereka.
Boleh jadi juga buku berautograf itu pemberian istimewa daripada seorang kekasih kepada buah hatinya. Memang sweet. Sweet tahap bersemut. Selagi buku tersebut tidak berjudul “When Things Fall Apart” atau “The Break Up Survival Kit”.
Apa pun jua, autograf daripada rakan-rakan penulis saya tidaklah keberatan berkongsi. Autograf ‘istimewa’ yang lain-lain, biarlah saya simpan sendiri.


